Entri kali ini saya garap dalam Bahasa Cinta Pertama. Bahasa Malaysia. Jam menunjukkan 12.29 A.M. tetapi mata masih lagi enggan melabuhkan kelopak walaupun kepala sudah berpinar dan tubuh sudah terkulai. Mungkin disebabkan cuaca terik perubahan suhu monsun baru-baru ini; atau mungkin kerana gigitan nyamuk Aedes dikhuatiri berlegaran di sekitar kediaman. Apa-apapun, terlintas di minda untuk berkongsi tinta mengenai karier diri sebagai guru. Yang telus dan tulus.
Seperti orang lain yang pernah punya cita-cita menggunung, aspirasi diri juga pernah begitu tinggi. Sejak di bangku sekolah lagi, saya sudah tetapkan impian untuk mengenggam profession kolar putih di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur dan menjadi salah seorang warga korporat. Berpakaian lengkap pejabat. Bersesakan di pagi hari mengejar lalu-lintas ke pejabat. Berurusan dengan pelanggan terhormat dan berpangkat. Pendek kata, gaya kehidupan seorang professional korporat. Lalu, pekerjaan pertama yang dikecapi sebagai pegawai bank merupakan tiket emas ke dunia yang diimpikan. Daripada lebih 2,000 calon yang memohon untuk menjadi bakal eksekutif, saya dan 17 orang rakan lagi terpilih hasil daripada beberapa saringan yang diadakan melibatkan kefasihan pertuturan dalam Bahasa Inggeris yang merangkumi debat dan aktiviti berkumpulan di atas pentas di hadapan orang kuat bank tersebut. Segala cita-cita yang diangankan tercapai.
Pejabat yang terletak di tengah bandar (Jalan Raja Chulan) dan tugasan sebagai pegawai bank yang menuntut diri untuk bercampur-gaul dan menepis rasa malu dengan pelanggan berkedudukan tinggi membuka horizon dengan lebih terbuka. Saban hari, saya berkejaran menaiki monorel dan LRT bersesakan mengejar waktu pejabat. Pada mulanya diri begitu teruja kerana merasakan diri seperti di Kota Boston, Amerika Syarikat di mana drama “Ally Mcbeal” dan “The Practice” sering digunakan sebagai latarbelakang; semua orang bergerak pantas mengejar masa. Habis kerja pula, selalunya merehatkan diri di kompleks membeli belah yang dekat kawasan kerja seperti “Pavillion” atau “Berjaya Times Square” melihat buku-buku atau CD muzik terbaru. Balik kerja terus menguncikan diri dalam bilik tiada masa beramah mesra dengan keluarga Kakak. Tidur. Pening kepala untuk hari seterusnya.
Impian dah dikecapi. Tetapi hati memberontak. Inikah kehidupan yang diinginkan? Itulah silap saya. Saya terjun dalam dunia perbankan tanpa minat mendalam terhadap kerjaya itu. Saya punya kebolehan bertutur dan menulis Bahasa Inggeris dan kebolehan interpersonal yang tinggi tetapi cinta pada kerjaya korporat itu sebenarnya tiada! Lantas saya buat keputusan untuk memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sebagai jalan keluar.
Saya takkan menjadi hipokrit dengan mendabik dada mengatakan saya 100% MINAT dan SANGAT CINTAKAN pekerjaan guru sebelum saya menjadi pelajar KPLI walaupun saya tahu saya berkebolehan mengajar orang dan saya selesa untuk menjadi pengajar orang. Pada mulanya, saya menjadikan KPLI sebagai jalan keluar daripada pekerjaan pegawai bank yang menyesakkan. Ini saya akui. Sebab itu, saya takkan menuding jari kepada kawan-kawan lain yang ingin ‘lari’ dari pekerjaan asalan (jurutera, pegawai bank, dll) dan memohon KPLI. Saya juga sangsi dengan dakwaan mana-mana individu yang mengatakan diri mereka 100% ikhlas memohon sebagai pelajar KPLI adalah kerana SETULUS HATI cita-cita azali menjadi guru kerana rata-rata yang memohon KPLI adalah orang yang tiada pekerjaan lain ataupun orang yang kecewa dengan pekerjaan lama mereka! Namun, selepas sahaja saya mendapat tawaran untuk menjadi pelajar KPLI, saya panjatkan kesyukuran pada Allah SWT dan mula perbetulkan niat saya. Saya sudah perhambakan diri saya seikhlas hati kepada karier yang bakal saya tempuhi. Seorang insan bernama guru.
Seperti ular menyisir kulit. Begitu juga Shahrill Ramli.
Sepanjang 11 bulan bergelar pelatih guru KPLI, banyak pengalaman ditimba hasil tunjuk ajar para pensyarah. Stigma orang-orang lama dunia pendidikan yang kurang senang dengan lambakan guru-guru KPLI yang dikatakan sebagai “tidak ikhlas” telah dikecapi dan dirasai. Sesuatu yang menjengkelkan jika kita teliti tetapi manusia memang tak lari dari sifat iri dan dengki. Kehadiran rakan-rakan KPLI dalam hidup merupakan pengalaman yang takkan saya lupakan sehingga akhir hayat saya. Suasana dunia perguruan lain daripada suasana perbankan/ korporat yang selama ini saya dambakan. Benarlah seperti kata-kata mentor kami, Puan Amani semasa sesi refleksi (luahan bersama) :
“Dunia cikgu ni lain. Penuh dengan empati dan memahami.”
Tiada rasa prejudis antara kami kerana masing-masing memahami kelemahan dan kekuatan antara satu sama lain. Susah senang selama 11 bulan akan saya ingat dan pahat dalam lipatan sejarah saya. Walaupun tempoh masa 11 bulan adalah singkat untuk betul-betul mendalami dunia pendidikan dan perguruan, tetapi ia merupakan satu pelan yang anjal dalam menyediakan saya sebagai permulaan dalam dunia perguruan. Dan kini, saya mencintai karier saya ini sepenuh jiwa raga saya, Insya Allah. Selain mendapat keredhaan Allah SWT dengan mengajar ilmu kepada generasi muda, saya juga menemui ketenangan karier yang saya dambakan.
Allah SWT berikan tanda dalam hidup. Semuanya ditentukan untuk kesesuaian kita. “Sign From God.”
Saya percaya pada “Signs From God”. Kadang-kadang, apa yang terjadi dalam kehidupan kita adalah petunjuk Tuhan untuk kebahagiaan kita di hari mendatang. Saya bersyukur sangat kerana kini saya sudah menemui identiti karier yang saya inginkan dan yang saya selesa. Memang benar tugas guru bukanlah mudah seperti yang disangka orang ramai (setelah menjadi guru baru saya tahu); tapi yang penting, kita selesa dan suka apa yang kita lakukan. Insya Allah, walau seberat mana pun bebanan, takkan menjadi kerunsingan yang memudaratkan.
Shahrill Ramli. Warga pendidik. Bermula 4 Januari 2010.